Friday, January 17, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki bunuh anak tiri dipenjara 30 tahun, 12 sebatan

    PUTRAJAYA, 17 JAN – Mahkamah Rayuan di sini memerintahkan seorang lelaki dipenjara 30 tahun dan 12 sebatan atas kesalahan membunuh anak lelaki tirinya yang berusia dua tahun pada 2019.

    Panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang meminda pertuduhan terhadap Mohammad Sofiyuddin Abu Bakar, 34, daripada membunuh kepada menyebabkan kematian tanpa niat dan menjatuhi hukuman penjara 16 tahun enam bulan ke atas tertuduh.

    Panel itu memerintahkan Mohamad Sofiyuddin menjalani hukuman bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu 26 Mei 2019.

    Mohammad Sofiyuddin pada asalnya didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Muhammad Aqil Hairi Mohd Azrul Epindi di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Yan-Guar Chempendak, Guar Chempedak, Kedah, antara jam 7:30 hingga 8 malam pada 25 Mei 2019.

    Berdasarkan fakta kes, ibu kanak-kanak itu telah meninggalkan anaknya di bawah jagaan Mohammad Sofiyuddin ketika dia pergi bekerja pada hari berkenaan.

    Mohammad Sofiyuddin yang diwakili peguam Ai Cha Ran dan Surachetth Jotsuwan, mendakwa kanak-kanak itu terjatuh dari meja ke lantai dan dumbel, namun hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan trauma tumpul pada abdomen dan kecederaan dialami kanak-kanak itu tidak konsisten dengan kejadian jatuh. – Bernama

    Gambar Pixabay
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda