Saturday, November 2, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki bunuh helang di tanah rizab Orang Asli dihukum penjara

    MISSOULA, 1 NOV – Seorang lelaki dari Washington yang dituduh mengetuai sindiket penyeludupan hidupan liar di sebuah tanah rizab penduduk asli Amerika yang membunuh ribuan helang dan burung yang lain untuk dijual di pasaran gelap dijatuhi hukuman penjara hampir empat tahun kelmarin.

    Sindeket penyeludupan itu beroperasi selama bertahun-tahun di Flathead Indian Reservation di barat laut Montana, memanfaatkan permintaan tinggi dalam kalangan ahli suku untuk bulu dan bahagian burung lain yang digunakan dalam powwow dan upacara mereka.

    Defendan dan yang lain membunuh kira-kira 118 ekor helang, 107 burung elang dan sekitar 3,600 ekor burung secara keseluruhan, menurut pendakwa raya.

    Helang emas muda menjadi sasaran kerana bulu hitam dan putih haiwan itu sangat dikehendaki dalam kalangan orang asli Amerika, kata pegawai.

    Operasi pemburuan haram itu tertumpu pada Flathead Indian Reservation di barat laut Montana, yang menurut para penyelidik mempunyai beberapa kepadatan tertinggi bagi helang dan burung pemangsa lain di Amerika Syarikat (AS).

    Anggota sindiket penyeludupan itu akan meletakkan bangkai rusa, anak lembu dan kijang untuk menarik helang, kemudian menembak burung-burung terbabit, yang datang untuk makan, kata pegawai.

    Mereka juga akan menembak helang secara oportunis dari tiang elektrik dan tempat-tempat hinggap lain.

    Travis John Branson, 49, dari Cusick, Washington, mengaku bersalah pada bulan Mac atas tuduhan konspirasi dan penyeludupan hidupan liar.

    Hakim Daerah AS, Dana Christensen di Missoula berkata semasa perbicaraan hukumannya bahawa pembunuhan burung oleh Branson adalah terancang, meluas dan dilakukan dengan pengetahuan sepenuhnya bahawa dia melanggar undang-undang. – AP

    Gambar fail menunjukkan kaki helang emas yang ditemui oleh pegawai penguatkuasaan undang-undang dari kenderaan seorang lelaki dari Washington. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda