Oleh Sim Y. H.
TEMBURONG, 28 MAC – Seorang lelaki yang mendapat kecederaan di kaki sebelah kanan berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat dalam kejadian di kawasan Wasai Janggut, Kampung Perdayan, Daerah Temburong, pagi tadi.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, menyatakan seramai 12 orang anggota bomba dan penyelamat serta dua buah jentera dari Balai Bomba Bangar yang diketuai oleh ABKS 629 Haji Mohd Yusra bin Haji Yussuf menghadiri panggilan berkenaan bagi mengangkat mangsa di kawasan Wasai Janggut, Kampung Perdayan sekitar jam 10:12 pagi.
Kenyataan menyatakan lagi bahawa apabila anggota bomba dan penyelamat sampai di tempat kejadian, penyiasatan telah dijalankan dan pihak paramedik telah mendapati seorang lelaki warganegara Brunei telah tergelincir di kawasan berkenaan dan mengalami kecederaan di kaki sebelah kanan. Anggota bomba dan penyelamat kemudiannya membawa mangsa keluar dari hutan dengan menggunakan sked stretcher dan seterusnya diserahkan kepada pihak paramedik untuk rawatan selanjutnya di Hospital Pengiran Isteri Hajjah Mariam.
Kenyataan menyatakan bahawa turut hadir ialah Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi G, SSFR Haji Afiq bin Haji Julah dan Stesen Komander Balai Bomba Bangar, Pemangku ASFR Jamaludin bin Ahmad serta keanggotaan Balai Polis Bangar.
JBP dalam kenyataannya menyarankan orang ramai untuk sentiasa membawa jurupandu yang berpengalaman sebelum masuk ke kawasan hutan, memastikan peka akan keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan tidak meneruskan aktiviti jika keadaan sudah mulai gelap, jangan mendaki bukit secara berseorangan ditakuti perkara yang tidak diingini berlaku dan maklumkan kepada keluarga atau kawan-kawan di mana tempat awda hendak tuju serta untuk keselamatan mereka semasa mendaki disarankan supaya membawa wisel, lampu, telefon bimbit dan air bagi keperluan jika berlaku kecemasan.
