Lelaki cedera kebakaran besar bangunan di Belait

Oleh Sim Y. H. & Daniel Lim
Gambar oleh Daniel Lim dan JBP

BELAIT, 1 SEPT – Seorang lelaki warga tempatan cedera di bahagian muka dan tangan dalam satu kebakaran besar yang melibatkan bahan berbahaya kelas 3 iaitu Flammable Liquid Class B Fire di bangunan di CIC Environmental Services Sdn Bhd, Los Tanjong Kuala Belait, awal pagi tadi, dengan api marak semalaman dan asap tebal kelihatan menyelubungi premis itu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, hari ini, bahan berbahaya berkenaan tidak lagi digunakan bagi tujuan perkitaran semula serta perawatan sisa buangan minyak.

Anggota Balai Bomba Kuala Belait telah dikerahkan ke tempat kejadian pada pukul 1:24 pagi, manakala lelaki yang cedera telah dikejarkan ke Hospital Suri Seri Begawan Kuala Belait menggunakan kenderaan ambulans pihak Shell bagi mendapatkan rawatan.

Menurut kenyataan itu lagi, seramai 44 orang termasuk pegawai dan anggota bomba dan penyelamat yang diketuai oleh Pegawai Pemerintah

Cawangan Operasi B, SSFR Noor Aflan bin Awang Kachi bersama beberapa buah agensi dengan keramaian seramai 31 orang, sama-sama menangani operasi kebakaran bangunan tersebut.

Asap hitam tebal berkepul-kepul ke udara selepas api berjaya dipadamkan dalam masa lima jam.
Gambar pemandangan bangunan yang kelihatan rosak akibat kebakaran di Kuala Belait pada awal pagi tadi.
Api besar dilihat dari perkarangan CIC Environmental Services Sdn Bhd. – Gambar serahan JBP
Gambar yang tular di media sosial menunjukkan keadaan bangunan selepas kebakaran berjaya dipadamkan dalam masa 5 jam dan 30 minit.

Antara agensi yang terlibat dalam operasi itu ialah JBP Cawangan Operasi B, Daerah Belait, Daerah Polis Belait, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Paramedik EMAS Kuala Belait dan Bomba Brunei Shell Sdn Bhd.

Kenyataan menyatakan lagi bahawa operasi memadam kebakaran mengambil masa 5 jam 30 minit.

CIC dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, menekankan bahawa keselamatan dan perlindungan terhadap pekerja dan stakeholders serta semua pekerja dipindahkan ke tempat selamat pada masa insiden berlaku.

Selain itu, CIC juga memaklumkan bahawa semua kemudahan di lokasi lain masih beroperasi sepenuhnya manakala penyiasatan ke atas insiden kebakaran dan yang berkaitan akan dijalankan dalam masa beberapa hari dan minggu akan datang.

JBP menyarankan orang ramai supaya memastikan bahawa bangunan mereka dilengkapi dengan peralatan keselamatan kebakaran seperti alat pemadam api ringkas jenis debu kering 4 kilogram dan selimut api, memastikan untuk menutup mana-mana suis peralatan elektrik selepas digunakan atau sebelum meninggalkan bangunan, memastikan penyimpanan bahan-bahan yang mudah terbakar ditempatkan ke satu tempat yang lebih teratur dan housekeeping yang baik serta sering menjalankan pembersihan di kawasan bekas sisa-sisa bahan berbahaya.