WASHINGTON, 12 OGOS – Seorang lelaki bersenjata yang cuba menceroboh pejabat Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Cincinnati ditembak mati oleh anggota penguat kuasa pada pagi Khamis, lapor Xinhua.
Lelaki itu cuba menghindari pemeriksaan pelawat di pejabat FBI di Cincinnati, Ohio, kira-kira 9:15 pagi waktu tempatan, menurut kenyataan agensi penguatkuasaan undang-undang persekutuan.
Dia kemudian bertindak melarikan diri dan pegawai penguat kuasa berjaya mengesan suspek berhampiran Wilmington, Ohio. Suspek dan anggota penguat kuasa berbalas tembakan dan lelaki itu dilaporkan ‘ditembak dan maut’ di tempat kejadian.
FBI berkata pihaknya sedang ‘menjalankan siasatan mengenai insiden tembakan itu.’ Peronda Lebuh raya Negeri Ohio menerusi ciapan di Twitter memaklumkan askar dan penguat kuasa undang-undang ‘cuba berunding dengan suspek agar menyerah diri secara sukarela’.
“Apabila rundingan gagal, para pegawai cuba menahan suspek menggunakan taktik yang tidak membawa maut.
“Suspek bertindak menggunakan senjata api sehingga memaksa pegawai penguat kuasa melepaskan tembakan.
“Suspek maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah,” menurut pihak polis. – Bernama
