WELLINGTON, 20 JUN – Seorang lelaki warga China didakwa hari ini selepas menyerang pelanggan dengan senjata seperti kapak di tiga restoran di bandar terbesar New Zealand, yang mencederakan empat orang.
Lelaki itu didakwa selepas insiden di tiga restoran Cina Auckland yang mengakibatkan empat orang dikejarkan ke hospital, kata polis.
Pihak berkuasa bertindak balas pada kira-kira jam 9 malam, kelmarin selepas menerima beberapa panggilan dari kawasan itu, bahawa pelanggan di restoran telah diserang, tambah polis.
Media tempatan melaporkan bahawa lelaki itu memasuki kedai makan, yang terletak berhampiran antara satu sama lain dan membelasah pelanggan dengan senjata menyerupai kapak.
Video yang disiarkan di media sosial menunjukkan lantai sebuah restoran berlumuran darah ketika polis menahan seorang lelaki. Lelaki berusia 24 tahun itu telah ditangkap di tempat kejadian sebelum hadir di Mahkamah Daerah North Shore hari ini, dengan namanya dirahsiakan sementara waktu. – AFP


