ANKARA, 6 APRIL – Seorang warga Jordan ditahan dan didakwa kerana membahayakan keselamatan penerbangan dari Malaysia ke Sydney serta menyerang seorang kru kabin selepas lelaki itu cuba membuka dua pintu kecemasan pesawat, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik Polis Persekutuan Australia hari ini.
Polis dalam satu kenyataan memaklumkan tertuduh berusia 46 tahun cuba membuka pintu kecemasan di bahagian belakang pesawat semasa penerbangan.
Menurut polis, lelaki itu kemudian diarahkan oleh kakitangan syarikat penerbangan untuk duduk di bahagian tengah pesawat, namun dia sekali lagi cuba membuka pintu kecemasan di bahagian itu.
“Lelaki berkenaan kemudian dihalang oleh kru serta penumpang dan semasa itu dia didakwa menyerang seorang kakitangan syarikat penerbangan,” menurut kenyataan itu.
Polis berkata setiap kesalahan itu membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun.
Lelaki itu ditahan sejurus pesawat itu tiba di Lapangan Terbang Sydney dari Kuala Lumpur dan akan dihadapkan ke sebuah mahkamah tempatan atas dua pertuduhan membahayakan keselamatan pesawat dan satu pertuduhan menyerang kru kabin.
“Tindakan lelaki ini boleh membawa akibat yang tragis dan penumpang serta kakitangan penerbangan tidak sepatutnya berdepan dengan tingkah laku yang tidak terkawal, ganas atau berbahaya dalam penerbangan,” kata Detektif Pemangku Superintenden, Davina Copelin. – Bernama
