PHOENIX, 1 Oktober 2007 – Seorang lelaki yang bersetuju untuk mengaku bersalah dalam komplot untuk memeras lebih AS$1 juta daripada Tom Cruise bagi gambar perkahwinan pelakon itu yang dicuri, telah ditemui mati di rumahnya, kata pihak berkuasa.
Penyiasat berkata David Hans Schmidt, 47, yang berada di bawah tahanan rumah dan berdepan dengan hukuman penjara dua tahun kelihatannya membunuh diri.
Dia ditemui mati di rumahnya sekitar jam 3 petang Jumaat, selepas polis menyedari pengesan yang diletakkan ke atasnya tidak bergerak dan belum membuat pendaftaran masuk, menurut Lt. Anthony Lopez.
Tidak diketahui bila David, yang dibebaskan dengan ikat jamin AS$100,000, akan mengemukakan rayuannya di mahkamah.
Dia juga berdepan dengan denda AS$250,000 di bawah persetujuan difailkan pada 24 Ogos di Los Angeles.
David, yang dikenali kerap membuat tawar-menawar melibatkan gambar dan video selebriti, ditahan pada Julai selepas pihak berkuasa berkata tertuduh memperoleh gambar perkahwinan Cruise bersama Katie Holmes di Itali daripada jurugambar rasmi acara itu, menurut dokumen mahkamah.
Bermula Mei, David berulang kali menghubungi perwakilan Cruise dan mengancam akan mengeluarkan gambar itu jika dia tidak menerima antara AS$1.2 dan AS$1.3 juta, kata pihak berkuasa.
David juga cuba untuk melelong diari Paris Hilton, bersama gambarnya tanpa pakaian dan barangan peribadi lain.