Friday, November 15, 2024
30.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki cuba seludup 252kg kokain didakwa

    SYDNEY, 14 NOV – Seorang lelaki didakwa selepas cuba menyeludup 252 kilogram koktel dadah (campuran dadah terlarang) yang berbahaya ke Australia, menurut Polis Persekutuan Australia (AFP) hari ini, lapor agensi berita Jerman, dpa.

    Bahan yang dirampas itu, dikenali sebagai ‘kokain merah jambu’ atau ‘tusi’, merupakan campuran ketamin, MDMA dan bahan cemar lain, yang biasanya mengandungi sedikit atau tiada langsung kokain, kata pihak polis.

    AFP melancarkan siasatan pada Oktober selepas menemui dadah itu dalam penghantaran kargo udara yang dilabel sebagai mengandungi gergaji industri dan ditujukan ke sebuah kawasan pinggir bandar di barat Sydney.

    Susulan itu, AFP menganjurkan operasi penghantaran terkawal pada awal November. Lelaki berusia 21 tahun itu ditahan oleh penyiasat AFP tidak lama kemudian.

    Lelaki itu didakwa kerana cuba memiliki kuantiti komersial dadah terkawal yang diimport secara haram, satu kesalahan yang membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup, kata pihak polis.

    Dia telah dihadapkan ke mahkamah minggu lepas, yang permohonan jaminannya secara rasmi ditolak. Kesnya akan disebut semula pada Januari.

    Pemangku Superintenden AFP, Stuart Millen menyatakan kebimbangan terhadap jumlah besar rampasan itu, sambil memberi amaran tentang risiko besar yang ditimbulkan oleh ‘kokain merah jambu’ kepada pengguna.

    ‘Kokain merah jambu’ terdiri daripada koktel dadah terlarang yang tidak menentu, bermakna sesiapa yang mengambil dadah itu tidak tahu apa yang dimasukkan ke dalam tubuh mereka. Walaupun namanya, ia jarang mengandungi kokain,” kata Millen.

    “Bahaya pengambilan semua jenis dadah terlarang boleh menjadi serius, termasuk penagih boleh mengalami keadaan tidak sedarkan diri, serangan angin ahmar, serangan jantung malah kematian. Mengambil koktail dadah terlarang meningkatkan risiko itu dengan ketara. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda