BANDAR KUWAIT, 6 JULAI – Mahkamah Kuwait hari ini menjatuhi hukuman mati ke atas seorang lelaki selepas disabit bersalah menculik dan membunuh seorang ibu dengan dua anak, satu jenayah yang menggemparkan negara itu.
Pembunuhan kejam Farah Hamzah Akbar, 32, dengan mayatnya dibuang di luar sebuah hospital pada 20 April selepas dia diculik pada siang hari, mencetuskan bantahan dan tuntutan meminta keadilan dilaksanakan. “Keputusan sudah dicapai dan kami berharap ia dilaksanakan supaya keluarga boleh meneruskan kehidupan mereka,” beritahu peguam keluarga Akbar, Abdulmohsen al-Qattan, kepada AFP.
Beliau menambah kes itu kini akan dirujuk kepada mahkamah rayuan untuk dikaji semula.
Lelaki itu, yang menghendap Akbar beberapa kali meskipun aduan dibuat kepada pihak berkuasa, mengheretnya dari sebuah kereta semasa bulan Ramadan.
Akbar pernah memfail dua aduan gangguan ke atas lelaki yang telah melamarnya walaupun dia sudah berkahwin. Dia ditahan tetapi dibebaskan dengan ikat jamin. – AFP