Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki dari Kuching mangsa terbaharu jangkitan rabies

    KUALA LUMPUR, 9 SEPT – Seorang lelaki berusia 51 tahun dari Kuching, Sarawak, meninggal dunia semalam akibat dijangkiti wabak rabies, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

    Katanya dengan pengesahan kes rabies terbaharu itu menjadikan jumlah kes bagi tahun ini adalah tiga dengan kesemuanya meninggal dunia.

    Beliau berkata jumlah kes bagi keseluruhan wabak rabies di Sarawak yang diisytiharkan pada 1 Julai 2017 sehingga kini adalah 25 kes, termasuk melibatkan 24 kematian.

    “Beliau (mangsa) disahkan dijangkiti virus rabies melalui ujian makmal yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada 4 September lalu.

    “Mangsa dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak pada 26 Ogos kerana mengalami sakit belakang menyebabkan kesukaran untuk bergerak selama tiga hari sebelum dimasukkan ke wad,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Dr Noor Hisham berkata mangsa mengalami muntah dan serangan sawan sebelum dimasukkan ke hospital dan disahkan meninggal dunia semalam pada 6:29 petang dengan didiagnosis mempunyai rabies encephalitis.

    Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata berdasarkan siasatan awal belum dapat mengesahkan sebarang sejarah gigitan anjing atau haiwan lain berlaku pada mangsa.

    “Namun, mangsa ada memelihara seekor kucing dan seekor anjing. Anjing peliharaannya ini belum mendapat vaksin anti-rabies tetapi tidak dilepaskan dari kawasan rumah,” katanya.

    Beliau berkata sehingga hari ini, status kedua-dua haiwan itu adalah baik dan tiada perubahan tingkah laku.

    Katanya memandangkan Sarawak belum bebas daripada wabak rabies, KKM menasihati orang ramai agar mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan dijangkiti penyakit itu.

    “Elakkan diri daripada digigit anjing atau haiwan liar. Jika anjing atau kucing berubah agresif, dapatkan rawatan segera di klinik haiwan dan laporkan kepada veterinar,” jelasnya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda