Saturday, March 15, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki diberkas miliki ganja seberat 234.5g

    BELAIT, 29 DIS – Seorang lelaki tempatan berumur 25 tahun ditahan oleh Biro Kawalan Narkotik (BKN) semasa berada di dalam keretanya di kawasan letak kereta sebuah gedung membeli-belah di Seria kerana disyaki terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.

    Menurut kenyataan daripada BKN, di sini, hasil daripada pemeriksaan ke atas kereta suspek telah menemui beberapa peket plastik lutsinar berisi daun-daun kering yang dipercayai merupakan dadah jenis ganja yang dianggarkan keseluruhannya seberat 234.5 gram. Juga ditemui semasa pemeriksaan tersebut ialah satu alat perkakas yang dipercayai bagi kegunaan menghisap dadah dan beberapa peket plastik lutsinar kosong dipercayai digunakan untuk aktiviti penyalahgunaan dadah.

    Tangkapan tersebut masih di dalam siasatan di bawah Seksyen 3A Akta Penyalahgunaan Dadah (APD), Penggal 27 iaitu atas kesalahan memiliki dadah terkawal bagi tujuan mengedar yang boleh membawa hukuman minimum lima tahun penjara dan lima sebatan dan hukuman maksimum 20 penjara dan 15 sebatan dan memiliki dadah terkawal lebih daripada 100 gram yang membawa kepada hukuman gantung hingga mati.

    Kesalahan itu juga termasuk di bawah Seksyen 6 (b) APD, Penggal 27 iaitu atas kesalahan memakan dadah terkawal yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tempoh 10 tahun atau denda sebanyak $20,000 atau kedua-duanya; dan Seksyen 7 APD, Penggal 27 iaitu atas kesalahan memiliki alat perkakas yang digunakan untuk mengambil dadah yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tempoh tiga tahun atau denda sebanyak $10,000 atau kedua-duanya

    Sehubungan itu, BKN ingin mengingatkan bahawa adalah menjadi satu kesalahan di bawah APD Penggal 27, jika terlibat dengan apa jua bentuk aktiviti berhubung dengan penyalahgunaan dan pengedaran dadah terkawal.

    Antara dadah yang ditemui semasa pemeriksaan tersebut. – Gambar oleh BKN

    Jelas BKN lagi, menjerumuskan diri dengan aktiviti pengedaran dadah terkawal tidak menjamin masa depan seseorang dan ianya bukanlah satu jalan penyelesaian dalam menghadapi masalah kewangan atau bagi menjana pendapatan dalam menyara kehidupan berkeluarga.

    Perbuatan tersebut juga akan memberikan impak negatif kepada keluarga, masyarakat dan juga memusnahkan kestabilan dan keselamatan negara.

    Dalam usaha untuk merealisasikan strategi pengurangan ‘bekalan dan permin-taan’ ke atas dadah, pihak BKN akan terus berusaha mengekang apa jua bentuk aktiviti yang melibatkan jenayah dadah di negara ini.

    Orang ramai juga boleh menyalurkan sebarang maklumat mengenai sebarang kegiatan yang mencurigakan ke talian 2448877 (semasa waktu pejabat) atau hotline: 8777444 (selepas waktu pejabat) atau email kepada: ncb@narcotics.gov.bn.

    BKN sangat menghargai sokongan padu dan kerjasama daripada setiap lapisan masyarakat di negara ini dalam usaha menangani aktiviti penyalahgunaan dadah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda