Saturday, December 21, 2024
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki didakwa bakar atlet olimpik Uganda maut

    NAIROBI, 10 SEPT – Seorang lelaki yang dituduh menyimbah petrol pada atlet Olimpik Uganda, Rebecca Cheptegei, sehingga menyebabkan kematiannya beberapa hari kemudian, telah meninggal dunia akibat kecederaan kebakaran yang dialaminya. Perkara itu disahkan oleh Hospital Rujukan Moi di Eldoret, Kenya, di mana dia dirawat.

    Dickson Ndiema telah dimasukkan ke hospital dengan 30 peratus kebakaran pada badannya, dipercayai berlaku selepas dia membakar Cheptegei.

    Atlet wanita itu meninggal dunia minggu lalu akibat 80 peratus kebakaran pada badannya, menurut jurucakap hospital, Owen Menach, yang mengesahkan kematian Ndiema.

    Dilaporkan bahawa pertikaian antara Ndiema dan Cheptegei berpunca daripada tanah yang dibeli oleh atlet itu di Kenya. Cheptegei, yang baru sahaja bertanding dalam maraton wanita di Olimpik Paris sebulan sebelum serangan, membeli tanah di daerah Trans Nzoia agar lebih dekat dengan pusat latihan atletik di Kenya, menurut kenyataan ibu bapa Cheptegei.

    Bapa atlet itu, Joseph Cheptegei, berkata bahawa bekas teman lelaki anaknya itu telah mengganggu dan mengancamnya sebelum serangan berlaku, dan keluarga
    mereka telah melaporkan perkara itu kepada pihak polis. Beliau melahirkan kekecewaan bahawa suspek tidak dikawal di katil hospitalnya dan bimbang dia mungkin melarikan diri.
    Rebecca Cheptegei dijangka dikebumikan di Uganda pada Sabtu ini. – AP

    Gambar fail Rebecca Cheptegei semasa bertanding pada perlumbaan Discovery 10km di Kapchorwa, Uganda pada 20 Januari 2023. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda