Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki didakwa edar lebih 2kg dadah syabu

    SIBU, 5 NOV – Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret hari ini, atas dua pertuduhan mengedar dan mengambil dadah pada 22 Oktober lepas.

    Moh Mee Hing, 57, mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan kedua, namun tiada pengakuan direkodkan terhadap pertuduhan pertama di hadapan Majistret Romario Jonoi.

    Bagi pertuduhan pertama mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, lelaki itu didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 2,055.85 gram di sebuah rumah di Lorong 6, Rejang Park, pada kira-kira 11 pagi, 22 Oktober.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup, dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, tertuduh boleh dikenakan sekurang-kurangnya 15 sebatan, seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.

    Dalam pertuduhan kedua, Moh didakwa mengambil dadah jenis amphetamine dan methamphetamine kira-kira 6 petang tarikh yang sama di Balai Polis Sungai Merah, Jalan Wawasan.

    Dia didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan denda hingga RM5,000 atau penjara hingga dua tahun, dan selepas menjalani hukuman, tertuduh boleh diperintahkan menjalani pengawasan antara dua hingga tiga tahun di bawah Seksyen 38B akta sama.

    Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan dan tertuduh terus direman sementara menunggu laporan Jabatan Kimia siap serta menetapkan 6 Februari tahun depan untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Haris Danial Mohamed Hassan, manakala tertuduh diwakili peguam Rosli Gapor. – Bernama

    Moh Mee Hing dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan mengedar dan mengambil dadah, pada 22 Oktober lalu. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda