NEW YORK, 23 JULAI – Seorang lelaki di New York didakwa atas kesalahan membuat dan memiliki peranti letupan buatan sendiri (IED) serta melontar salah satu peranti tersebut ke landasan kereta api bawah tanah, menurut kenyataan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS), kelmarin.
Michael Gann, 55 tahun, didakwa menghasilkan sekurang-kurangnya tujuh peranti letupan menggunakan bahan kimia yang dibelinya secara dalam talian dan menyimpan lima daripadanya bersama beberapa peluru senapang patah di atas bumbung bangunan pangsapuri di kawasan SoHo, Manhattan.
Dakwaan itu dikemukakan oleh Pejabat Peguam Negara AS bagi Daerah Selatan New York.
Menurut pihak berkuasa, Gann telah melontar satu IED ke atas landasan kereta api di Jambatan Williamsburg dan ditahan pada awal Jun dengan satu lagi peranti letupan berada pada tubuhnya.
“Seperti yang didakwa, Michael Gann telah membina peranti letupan, menyimpannya di atas bumbung di SoHo dan membaling salah satunya ke atas landasan kereta api sehingga menyebabkan nyawa orang awam terancam,” kata Peguam Negara AS, Jay Clayton.
“Terima kasih kepada tindakan pantas pasukan penguat kuasa undang-undang, tiada kecederaan dilaporkan,” tambahnya.
Pendakwa raya mendedahkan pada Mei, Gann telah membeli kira-kira lebih 900 gram kalium perklorat dan lebih 450 gram serbuk aluminium, kedua-duanya bahan kimia asas untuk pembuatan bahan letupan – serta lebih 200 tiub kadbod dan 50 kaki sumbu letupan.
Salah satu peranti yang ditemui di atas bumbung bangunan di SoHo mengandungi kira-kira 30 gram serbuk letupan, iaitu 600 kali ganda melebihi had undang-undang untuk pengguna bunga api, menurut kenyataan pejabat peguam negara. – AFP
