Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MEI – Seorang lelaki yang berdepan pertuduhan menyebabkan kecederaan kepada lelaki remaja dihadapkan di Mahkamah Majistret, hari ini.
Mohammad Abdul Mutalip bin Minudin, 34, didakwa melakukan kesalahan itu terhadap mangsa berusia 16 tahun, dengan menikam perutnya sebanyak dua kali dan dua kali lagi di bahagian bawah punggung kiri menggunakan alat pengujian pin elektrik, yang kemungkinan menyebabkan kematian.
Kejadian didakwa berlaku kira-kira jam 5 pagi pada 20 Mei 2020 di sebuah rumah di Kampung Kupang.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 326 Kanun Hukuman Jenayah yang membawa penjara tidak melebihi 15 tahun dan sebatan jika didapati bersalah.
Timbalan Pendakwa Raya, Raihan Nabilah binti Haji Ahmad Ghazali memaklumkan mahkamah bahawa dia masih menunggu laporan perubatan mangsa dan memohon untuk tertuduh ditahan reman.
Majistret Kanan Pengiran Shahyzul Khairuddien bin Pengiran Abdul Rahman menetapkan 4 Jun 2020 untuk sebutan kes.