Lelaki didakwa racun orang gelandangan

LOS ANGELES, 12 JUN – Seorang lelaki berusia 38 tahun di California telah didakwa meracuni sekurang-kurangnya lapan penduduk tanpa tempat tinggal dan merakam mereka ketika mereka mengalami simptom seakan-akan sawan, muntah dan sukar bernafas, kata pihak berkuasa semalam.

Beberapa mangsa dimasukkan ke hospital pada pertengahan Mei selepas memakan makanan yang dibubuh oleoresin capsicum, ‘yang dua kali lebih toksik daripada semburan lada sulah yang digunakan oleh polis,” kata pejabat Peguam Daerah Orange dalam satu kenyataan.

“Orang berkenaan dijadikan mangsa kerana mereka lemah,” kata Peguam Daerah Todd Spitzer.

“Mereka dieksploitasi dan diracuni sebagai sebahagian daripada hiburan, dan penderitaan mereka dirakam supaya ia boleh dikenang balik oleh penyerang mereka berulang kali.”

Pihak berkuasa berkata William Robert Cable meracuni mangsa di Huntington Beach, selatan Los Angeles, dan menyaksi dan merakam mereka semasa mereka kesakitan.

Cable ditangkap pada 22 Mei, dan menghadapi hukuman penjara 19 tahun jika disabit bersalah. – AFP