Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Mac – Seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini, atas pertuduhan merogol budak perempuan berusia tujuh tahun.
Lelaki yang namanya tidak dapat didedahkan itu didakwa merogol budak perempuan itu sekitar Februari 2017.
Dia didakwa oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Rozaimah binti Haji Abdul Rahman di bawah Seksyen 376(2) Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada lapan tahun dan tidak melebihi 30 tahun dan tidak kurang daripada 12 sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya memberitahu mahkamah bahawa lelaki itu baru diberkas semalam selepas laporan polis dibuat terhadapnya pada sebelah pagi.
Timbalan Pendakwa Raya kemudian membuat permohonan untuk tertuduh ditahan reman untuk siasatan lanjut.
Majistret Kanan Azrimah binti Haji Abdul Rahman menetapkan 6 Mac untuk sebutan semula.