Oleh Daniel Lim
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JULAI – Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) telah mengeluarkan kompaun berjumlah $300 ke atas seorang individu, kelmarin, kerana membuang sampah di premis awam di Kampung Batu Marang.
Menurut JASTRe, individu berkenaan yang telah dikenal pasti sebagai Muhammad Faris bin Zamzuri telah dirakam CCTV membuang sampah dari kenderaan ke premis awam.
Kompaun berkenaan dikeluarkan di bawah Seksyen 12(1) Penggal 30 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil.
Lelaki tersebut diberi tempoh tujuh hari untuk membayar denda berkenaan dan jika gagal akan dihadapkan ke mahkamah di mana jika didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak kurang daripada $1,000 dan tidak lebih $3,000.
Bagi kesalahan seterusnya pula boleh dikenakan denda tidak kurang $3,000 dan tidak lebih $9,000 atau penjara tidak kurang enam bulan.
JASTRe terus mengingatkan orang awam dan syarikat-syarikat untuk memastikan kebersihan alam sekitar.
