Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MEI – Mahkamah Majistre t kelmarin telah memerintahkan seorang lelaki tempatan membayar denda berjumlah $34,000 kerana memiliki rokok seludup.
Ahmad bin Haji Othman, 63, perlu menjalani hukuman penjara 14 bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Majistret Abdul ‘Azim bin Othman mendengar daripada pihak pendakwa kastam bahawa pegawai pencegahan kastam menahan defendan di sebuah rumah di RPN Kampung Rimba pada pukul 11:52 pagi, 22 November 2022.
Penahanan itu dibuat selepas pegawai pencegahan kastam menemui sembilan karton dan 71 paket rokok seludup yang dimiliki defendan.
Pegawai pencegahan kastam juga merampas wang tunai $300 daripada defendan.
Mahkamah memerintahkan rokok-rokok berkenaan dimusnahkan dan wang tunai dilucuthakkan kepada kerajaan.


