Thursday, December 5, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki dijatuhi hukuman mati kerana bunuh kanak-kanak

    WASHINGTON, 4 DIS – Seorang lelaki yang disabitkan atas kesalahan merogol dan membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun telah dihukum mati kelmarin di negeri Missouri, Amerika Syarikat, menurut pihak berkuasa penjara.

    Christopher Collings, 49, disahkan meninggal dunia pada pukul 6:10 petang di penjara negeri di Bonne Terre, menurut kenyataan Jabatan Pemasyarakatan Missouri.

    Collings didapati bersalah atas pembunuhan Rowan Ford, anak tiri kepada rakannya, pada November 2007 di bandar kecil Stella.

    Mayat mangsa dibuang ke dalam lubang dan ditemui beberapa hari kemudian.

    Peguam Christopher Collings telah meminta Mahkamah Agung untuk menangguhkan hukuman mati pada saat-saat akhir, tetapi permohonan itu ditolak.

    Peguam Collings berhujah bahawa ketua polis yang mendapatkan pengakuan anak guam mereka dan menjadi saksi utama semasa perbicaraan mempunyai rekod masalah dan kekurangan kredibiliti.

    Selain itu, mereka menyatakan bahawa bapa tiri mangsa, David Spears, telah mengaku terlibat dalam kematiannya tetapi tidak dikenakan tuduhan pembunuhan.

    Gabenor Missouri, Mike Parson, menolak permohonan pengampunan daripada Collings, membenarkan pelaksanaan hukuman mati melalui suntikan maut.

    “Collings telah menerima semua perlindungan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Missouri dan Amerika Syarikat (AS), dan sabitan serta hukuman terhadap Collings kekal atas jenayahnya yang kejam dan tidak berperikemanusiaan,” kata Gabenor Parson.

    Tahun ini, terdapat 23 pelaksanaan hukuman mati di AS, termasuk empat di Missouri. – AFP

    Gambar hiasan. – Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda