Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki dipenjara 15 bulan cabul budak

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JUN – Seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun dijatuhi hukuman penjara 15 bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini kerana mencabul kehormatan seorang budak perempuan berusia enam tahun.

    Asahrin bin Idris pada mulanya meminta untuk dibicarakan terhadap pertuduhan itu dan hanya mengaku bersalah apabila Pendakwa Raya Atiyyah Abas sedang mengemukakan saksi keempatnya.

    Majistret Kanan Pengiran Hazirah binti Pengiran Haji Mohd Yusof, ketika menjatuhkan hukuman penjara tersebut, mengambil kira umur mangsa yang masih muda, penafian defendan pada peringkat awal yang membawa kepada pengalaman pahit dihadapi mangsa yang terpaksa mengingatkan semula peristiwa serangan seksual itu dan defendan mengambil kesempatan ke atas kelemahan mangsa.

    Mahkamah juga menyatakan senarai panjang defendan mengenai sabitan terdahulu yang tidak menunjukkan keinsafan atau kekesalan atas perbuatannya.

    Kes defendan juga diburukkan lagi dengan fakta bahawa dia hanya mengaku bersalah selepas mengelak daripada hadir ke mahkamah.

    Pendakwa Raya Atiyyah Abas memberitahu mahkamah defendan berada di ruang tamu sebuah rumah di Kampung Delima apabila dia memanggil mangsa pada petang 25 Oktober 2020.

    Mereka berbual-bual apabila defendan tiba-tiba bersandar pada mangsa dan melakukan serangan seksual terhadapnya.

    Dia kemudian memberi pensel kepada mangsa untuk mengalih perhatiannya daripada kejadian itu dan beredar keluar dari bilik.

    Mangsa telah memberitahu datuknya tentang kejadian itu dan satu laporan polis telah dibuat yang membawa kepada penahanan defendan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda