SINGAPURA, 5 JUN – Seorang lelaki berusia 49 tahun yang bertindak ganas menetak isterinya di luar sederet restoran di Beach Road dijatuhi hukuman penjara 19 tahun dan lapan sebatan pada 3 Jun.
Cheng Guoyuan telah mengaku bersalah pada 20 Mei atas tuduhan cubaan membunuh dalam serangan kejam yang berlaku sekitar jam 5:30 petang pada 14 April 2022.
Beliau turut mengaku telah berniat untuk membunuh Han Hongli, 44, kerana wanita itu enggan berjanji untuk tidak membongkar kesalahan yang dilakukannya terhadap anak perempuan mereka, 23 tahun, hasil perkahwinan Han yang terdahulu.
Cheng menyatakan beliau berasa marah kerana isterinya enggan memaafkan perbuatannya terhadap anak mereka dan membenci hakikat bahawa isterinya masih memegang kuasa terhadap dirinya.
Butiran kesalahan terhadap anak perempuan itu tidak didedahkan di mahkamah.
Akibat serangan itu, tangan kiri Han hampir putus, dia hilang penglihatan mata kiri, wajahnya cacat kekal, dan fungsi kedua-dua lengannya terjejas. Hujung jari manis kanan Han turut terpaksa dipotong. – ANN/The Straits Times
