Sabtu, 22 November 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki dipenjara 20 tahun tetak isteri dan anak

    SIBU, 4 NOV – Mahkamah Sesyen hari ini menjatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun terhadap seorang lelaki berumur 58 tahun selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap isteri dan anak perempuannya menggunakan parang.

    Rahim Shim Abdullah didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya pada 5:38 pagi, 29 Oktober lepas.

    Menurut kertas pertuduhan, Rahim didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap isterinya, Fatimah Mohammad@Foung Swee Fung, 46, dan anaknya Nohaida Shim Mee Jiun, 20, menggunakan parang, di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama-sama Seksyen 326A kanun sama.

    Kesalahan itu membawa hukuman penjara hingga 20 tahun, denda, atau sebatan, manakala Seksyen 326A membenarkan hukuman digandakan apabila jenayah itu melibatkan ahli keluarga.

    Semasa kejadian, kedua-dua mangsa mengalami luka tetakan dan dikejarkan ke Hospital Sibu untuk menerima rawatan, manakala tertuduh melarikan diri sebelum ditahan polis berhampiran dusun durian di Kanowit.

    Dalam mitigasi, Rahim yang tidak bekerja sejak pandemik COVID-19 memberitahu mahkamah bahawa dia menyesali tindakannya itu dan mendakwa berada dalam tekanan emosi selepas sering bertengkar dengan isterinya dipercayai akibat kecurangan. – Bernama

    Rahim Shim Abdullah didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya, pada 29 Oktober lalu. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda