NEW DELHI, 17 FEB – Sebuah mahkamah di negeri Goa, barat India, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada lelaki berusia 31 tahun atas kesalahan merogol dan membunuh seorang wanita Ireland di sebuah tempat persiaran pelancong sekitar lapan tahun lalu.
Mayat Danielle McLaughlin yang berusia 28 tahun ditemui oleh seorang petani di sebuah pantai yang terkenal sebagai tarikan pelancong di Goa pada bulan Mac 2017. Autopsi menunjukkan kerosakan otak dan penjerutan di leher menyebabkan kematiannya.
Vikat Bhagat didapati bersalah atas jenayah itu Jumaat lalu. Keluarga McLaughlin dalam satu kenyataan mengatakan mereka dan rakannya, ‘bersyukur kepada pendakwa raya awam dan pegawai penyiasat untuk keadilan yang ditegakkan.’
Pada kebiasaannya, mangsa rogol tidak boleh dinamakan di bawah undang-undang India.
Dalam kes ini, keluarga mangsa bercakap kepada media untuk meningkatkan kesedaran mengenai kes tersebut.
Jenayah ini menonjolkan keganasan yang berterusan terhadap wanita di India walaupun, pada tahun 2012, terdapat undang-undang yang lebih ketat terhadap serangan seksual yang dikenakan selepas kematian seorang wanita muda yang dirogol oleh sekumpulan lelaki di sebuah bas di New Delhi.
Goa adalah destinasi popular untuk pelancong backpacking di India. Berjuta-juta pelancong mengunjungi beberapa pantainya setiap tahun. – AP
