Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki dipercayai pengedar dadah maut, kereta terbabas

    LAHAD DATU, 9 APRIL – Seorang lelaki dipercayai pengedar dadah maut apabila kenderaan dipandunya terbabas ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan pasukan polis bahagian siasatan jenayah narkotik yang menjalankan Op Tapis di Jalan POIC di sini semalam.

    Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Rohan Shah Ahmah berkata dalam kejadian pada 11:45 pagi itu, suspek warga tempatan berusia 28 tahun bertindak agresif dengan cuba melanggar dua anggota polis yang bertugas dalam operasi itu.

    “Suspek secara agresif mengundurkan kereta dipandu dengan cuba melanggar anggota polis bertugas, kemudian kereta suspek membuat pusingan U serta memecut laju dalam keadaan kereta bergerak melawan arus jalan dan cuba melanggar seorang lagi anggota polis.

    “Anggota polis yang ketika itu menghalang kereta suspek, bertindak mempertahankan diri dengan melepaskan satu das tembakan ke arah kereta suspek, kemudian kereta berkenaan yang bergerak laju terbabas pada jarak 400 meter ke bulatan berhampiran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Katanya suspek yang memiliki lima rekod jenayah atas pelbagai kesalahan narkotik, selain dikehendaki bagi kes melibatkan jenayah komersial itu meninggal dunia di lokasi kejadian dan polis turut merampas 7.45 gram syabu bernilai RM1,490 termasuk dua bilah parang samurai. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda