SIBU, 30 OKT – Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan permohonan reman selama enam hari terhadap seorang lelaki berusia 44 tahun bagi membantu siasatan kes pembuangan anak damit semalam.
Majistret Oon Kork Chern turut mengarahkan lelaki itu yang juga suspek kes berkenaan dihadapkan semula ke mahkamah pada 5 November.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP, Zulkipli Suhaili dalam kenyataan berkata lelaki terbabit bersama-sama seorang remaja perempuan berusia 14 tahun ditahan bagi membantu siasatan berkaitan penemuan anak damit lelaki di dalam sebuah tong di Jalan Tong Sang pagi semalam.
Beliau berkata anak damit berkenaan yang ditemukan dalam keadaan lemah oleh orang awam kira-kira 8:30 pagi disyaki baru dilahirkan dalam tempoh kurang dari 24 jam, kini dirawat di Hospital Sibu dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang anak damit, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” katanya. – Bernama