Thursday, May 1, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki disabit bunuh isteri semasa bulan madu di Fiji

    WELLINGTON, 16 DIS – Seorang lelaki dari Memphis, Tennessee, telah didapati bersalah oleh seorang hakim di Fiji atas tuduhan membunuh isterinya ketika bulan madu mereka pada tahun 2022, menurut kenyataan Pejabat Pendakwa Raya hari ini.

    Bradley Robert Dawson, 40, disabitkan bersalah membunuh isterinya, Christe Chen, 36, di pusat peranginan eksklusif Pulau Penyu di kepulauan Yasawaa. Insiden itu berlaku hanya dua hari selepas pasangan itu tiba di Fiji. Selepas kejadian, Dawson dilaporkan melarikan diri menggunakan kayak ke pulau berhampiran.

    Mayat Chen ditemui oleh kakitangan resort di bilik pasangan itu dengan kecederaan trauma gunakan objek tumpul di kepala. Penemuan itu dibuat selepas pasangan tersebut dilaporkan bertengkar pada malam sebelumnya dan tidak muncul untuk sarapan atau makan tengah hari pada keesokan harinya.

    Hakim Riyaz Hamza dari Mahkamah Tinggi Lautoka membuat keputusan itu pada Khamis lalu selepas perbicaraan selama seminggu, menurut Pejabat Pengarah Pendakwaan Awam Fiji. Dawson mempertahankan dakwaan tersebut, namun gagal meyakinkan mahkamah.

    Menurut laporan Fiji Times, Hakim Hamza menyatakan bahawa tindakan Dawson membawa pasport dan barangan peribadi semasa melarikan diri menunjukkan niatnya untuk meninggalkan Fiji. Hakim juga menegaskan bahawa beliau yakin tanpa sebarang keraguan munasabah bahawa Dawson bertanggungjawab atas jenayah itu.

    Dawson kini dalam tahanan di Fiji dan dijangka berhadapan hukuman penjara seumur hidup apabila dijatuhi hukuman pada Januari depan. Undang-undang Fiji memperuntukkan bahawa hakim boleh menetapkan tempoh minimum yang mesti dijalani sebelum pengampunan dipertimbangkan.

    Peguam Dawson tidak memberikan sebarang kenyataan mengenai kes itu. – AP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda