Saturday, March 29, 2025
26.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki diserang haiwan berbisa diselamatkan

    Oleh Sim Y.H.
    Gambar serahan JBP

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JULAI – Seramai 10 orang anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Labi telah dikejarkan ke Taman Rekreasi Wong Kadir, Labi bagi membantu mengeluarkan seorang lelaki dari hutan pada pukul 4:13 pagi.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, hari ini, lelaki berkenaan telah mengalami kecederaan bengkak di bahagian anggota kaki setelah diserang haiwan berbisa.

    Anggota bomba bertindak mengangkat pesakit dengan menggunakan stretcher hingga ke kawasan lapang dan kemudian diserahkan kepada pihak Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB).

    Mangsa kemudian dibawa keluar dari hutan menggunakan helikopter ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), di sini.

    Kenyataan menyatakan, operasi diketuai oleh Pegawai Balai Sarkawi bin Bakar, Stesen Komander Balai Bomba Labi dan dibantu oleh TUDB, paramedik EMAS Daerah Belait dan jurupandu Kampung Mendaram Besar, Labi.

    Turut hadir di lokasi ialah Timbalan Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi B, Penguasa Bomba dan Penyelamat, Ajahrin bin Mail dan Ketua Rumah Panjang Kampung Mendaram Besar, Labi, Brandi anak Jamau.

    JBP dalam kenyataan itu menyarankan orang ramai agar sentiasa membawa jurupandu yang berpengalaman untuk masuk ke kawasan hutan, pastikan tahu akan keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan tidak meneruskan aktiviti jika keadaan sudah mulai gelap (6 petang) dan jangan mendaki bukit secara berseorangan ditakuti perkara yang tidak diingini berlaku serta maklumkan kepada keluarga atau kawan-kawan mengenai tempat hendak dituju.

    Sementara untuk keselamatan semasa mendaki, orang ramai disarankan agar membawa bersama wisel, lampu, telefon bimbit dan air bagi keperluan jika berlaku kecemasan.

    Anggota penyelamat ketika mengusung pesakit untuk dikejarkan ke hospital menggunakan helikopter.
    Antara mereka yang terlibat dalam operasi menyelamat tersebut.
    Kenderaan ambulans dan bomba yang dikejarkan ke tempat kejadian di mana lelaki itu diselamatkan.

     

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda