Thursday, January 9, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki ditahan bawa senjata api dalam bagasi di Lapangan Terbang Sydney

    SYDNEY, 7 JAN – Seorang lelaki berusia 39 tahun telah didakwa oleh pihak polis selepas senjata api didakwa ditemui dalam bagasinya di Lapangan Terbang Sydney, menurut kenyataan Polis Persekutuan Australia (AFP) hari ini.

    Kejadian berlaku pada 28 Disember lalu apabila seorang petugas keselamatan yang memantau mesin sinar-X mengesan barang yang mencurigakan dalam bagasi lelaki tersebut, lalu memanggil pegawai untuk membuat pemeriksaan lanjut.

    “Pegawai AFP memeriksa bagasi itu dan menemui beberapa bahagian senapang patah serta peluru yang telah dibuka,” kata kenyataan polis.

    Lelaki tersebut, yang sedang bersiap untuk menaiki penerbangan ke Lubnan, ditahan dan disoal siasat berhubung senjata api yang tidak didaftarkan atas namanya itu.

    Dia kini berdepan satu pertuduhan penyeludupan senjata api atau bahagian senjata api yang haram keluar dari Australia, dengan hukuman penjara maksimum 20 tahun jika disabitkan bersalah.

    Detektif Pemangku Superintenden AFP, Dom Stephenson, menyatakan bahawa lelaki itu pada mulanya mendakwa senjata tersebut adalah alat untuk memberikan ubat cecair kepada ternakan.

    “Bagaimanapun, AFP kemudiannya mengesahkan senjata itu adalah senapang patah yang dibahagikan kepada dua bahagian.

    “Ia merupakan senjata yang serius dan berpotensi mendatangkan bahaya sebenar,” katanya. – Xinhua

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda