SEOUL, 30 MAC – Pihak berkuasa Korea Selatan hari ini mengesahkan bahawa mereka menahan seorang lelaki yang disyaki mencetuskan kebakaran hutan hingga memusnahkan kawasan tenggara negara itu, lapor agensi berita Yonhap.
Lelaki berusia 56 tahun itu didakwa menyebabkan kebakaran pada 22 Mac sekitar 11:25 pagi ketika menjalankan upacara penghormatan nenek moyang di sebuah makam keluarga di atas bukit di Daerah Uiseong, Wilayah Gyeongsang Utara.
Api kemudian merebak dengan pantas ke kawasan berhampiran seperti Andong, Cheongsong, Yeongyang dan Yeongdeok selama beberapa hari, didorong oleh angin kencang dan cuaca kering, mengorbankan sekurang-kurangnya 26 nyawa di wilayah itu.

Kebakaran turut memusnahkan kira-kira 4,000 struktur, termasuk Kuil Goun, iaitu sebuah Tapak Warisan Dunia UNESCO serta rumah kediaman, kilang dan kemudahan lain.
Bagaimanapun, suspek menafikan tuduhan yang dikenakan terhadapnya, menurut pihak polis.
Perkhidmatan Perhutanan Korea sebelum ini mengumumkan bahawa kebakaran di Wilayah Gyeongsang Utara berjaya dikawal sepenuhnya pada 5 petang Jumaat, sebelum ia kembali marak pada malam kelmarin.
Menurut agensi perhutanan, kira-kira 48,000 hektar kawasan hutan – bersamaan 80 peratus saiz bandar Seoul – musnah dalam bencana kebakaran hutan paling dahsyat dalam sejarah Korea Selatan.
Pihak polis merancang untuk menjalankan siasatan bersama seawal minggu depan dengan kerjasama Institut Sains Hutan Kebangsaan, Perkhidmatan Forensik Kebangsaan, serta pihak bomba. – Bernama