TOKYO, 26 JAN – Seorang lelaki berusia 46 tahun ditahan berhubung serangan yang berlaku pada Rabu berhampiran Stesen Nagano, yang mengakibatkan tiga orang ditikam, dengan seorang daripadanya maut dan dua lagi cedera, menurut laporan media tempatan hari ini.
Suspek, dikenali sebagai Yusuke Yaguchi, merupakan penduduk di Nagano City. Polis memasuki apartmennya yang terletak kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian dan menahan suspek hari ini, menurut penyiar nasional, NHK.
Bagaimanapun, suspek enggan memberikan kenyataan semasa disoal siasat oleh polis, menurut laporan itu.
Polis memaklumkan bahawa mangsa tidak mempunyai sebarang kaitan dengan suspek sebelum ini. Pihak berkuasa sedang menyiasat kes ini sebagai tindakan keganasan secara rawak. – Xinhua