HA TINH, VIETNAM, 20 OKT – Seorang lelaki berusia 31 tahun di wilayah tengah Ha Tinh, Vietnam, ditahan polis tempatan selepas disyaki dengan sengaja mencederakan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun menggunakan tukul besi.
Menurut kenyataan pihak berkuasa, suspek dikenali sebagai Nguyen Van Nam, merupakan bapa tiri kepada mangsa, H.T.N.L., murid Tahun 5 di Sekolah Rendah Co Dam.
Siasatan awal dijalankan selepas polis menerima laporan bahawa mangsa didera dan dipukul oleh suspek hingga mengalami kecederaan serius.
Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku sekitar jam 6 petang Sabtu lalu apabila Nam membawa L. ke rumah ibu kandungnya untuk makan malam bersama ahli keluarga.
Ketika berbual, Nam dikatakan naik berang kerana tidak berpuas hati dengan jawapan diberikan oleh L. serta mengungkit perselisihan lama. Nam kemudian mengambil tukul besi dan menghentak kepala mangsa dua kali sehingga menyebabkan pendarahan serius.
Keesokan paginya, Nam keluar bekerja dan mengunci pintu, meninggalkan L. bersendirian. Kemudian L. membuka tingkap dan menjerit minta pertolongan. Penduduk kampung segera datang menyelamatkan mangsa dan memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa.
Selepas kejadian, Nam melarikan diri ke rumah ibunya, namun berjaya ditahan polis malam kelmarin. Suspek mengaku melakukan semua perbuatan keganasan terhadap anak tirinya. – ANN/Viet Nam News

