Thursday, January 30, 2025
22.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki ditahan susulan kes misteri ‘Lady of the Hills’

    BANGKOK, 27 JAN – Pihak berkuasa Thailand telah menahan seorang lelaki Britain, suami kepada wanita Thailand yang mayatnya ditemukan di kawasan perbukitan terpencil di England lebih dua dekad lalu.

    Mayat Lamduan Armitage, nama sebenarnya Lamduan Seekanya ditemui oleh pendaki di kawasan Yorkshire Dales pada tahun 2004.

    Namun, identiti Lamduan kekal misteri dan tidak dikenal pasti selama bertahun-tahun, hanya dikenali sebagai ‘Lady of the Hills’. Misteri itu berlarutan sehingga 2019 apabila siasatan baharu oleh polis membawa kepada pengakuan keluarganya di Thailand melalui ujian DNA.

    Menurut polis imigresen Thailand, lelaki berusia 62 tahun itu ditahan di sebuah rumah di wilayah barat Kanchanaburi pada Jumaat kerana melanggar syarat visa.

    “Pegawai imigresen memutuskan untuk membatalkan visanya dan dia ditahan sebelum Thailand meneruskan langkah seterusnya dalam kerjasama antarabangsa berkaitan jenayah,” menurut kenyataan polis imigresen pada Sabtu.

    Gambar Freepik

    Pegawai Thailand dan Polis North Yorkshire mengesahkan bahawa lelaki tersebut
    adalah David Armitage, suami kepada Lamduan.

    Polis North Yorkshire, yang mengetuai siasatan atas kematian Lamduan, telah menghantar pasukan detektif ke Thailand tahun lalu untuk bertemu keluarga Lamduan setelah identitinya disahkan.

    Dalam kenyataan Sabtu, jurucakap berkata polis North Yorkshire menyedari tentang penahanan Armitage di Thailand.

    “Jika Armitage dihantar pulang, kami difahamkan bahawa dia akan diberi pilihan destinasi, termasuk kembali ke UK,” kata jurucakap itu.

    “Jika itu berlaku, kami akan berusaha sedaya upaya untuk bercakap dengannya mengenai siasatan ini.”

    BBC melaporkan bahawa polis masih tidak pasti punca kematian Lamduan, ibu kepada tiga anak itu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda