TOKYO, 7 MEI – Seorang lelaki telah ditahan di Tokyo susulan serangan menggunakan pisau yang didakwa berlaku di dalam sistem kereta api bawah tanah hari ini dan menyebabkan beberapa orang cedera, lapor media tempatan Jepun.
Perkhidmatan Laluan Metro Namboku Tokyo telah digantung selepas kejadian itu, menurut penyiar awam NHK dan beberapa saluran media tempatan lain.
Pihak polis tidak dapat mengesahkan kejadian tersebut apabila dihubungi oleh AFP.
NHK melaporkan bahawa beberapa individu telah cedera, namun tahap kecederaan mereka belum dapat dipastikan.
Menurut laporan yang memetik sumber polis, pegawai telah dimaklumkan sekitar jam 7 malam bahawa seorang lelaki bersenjatakan pisau dilihat di Stesen Todai-mae di pusat bandar Tokyo.
Kejadian jenayah ganas jarang berlaku di Jepun, sebuah negara yang mempunyai kadar pembunuhan yang rendah dan undang-undang senjata api antara yang paling ketat di dunia.
Namun, insiden tikaman dan juga tembakan sesekali berlaku, termasuk pembunuhan bekas Perdana Menteri Shinzo Abe pada tahun 2022. – AFP
