COLUMBUS, 3 MAC – Polis di Texas telah menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes hilangnya seorang remaja perempuan selama lapan hari sebelum ditemui selamat.
Lelaki berusia 27 tahun itu didakwa cuba mengelak daripada pihak berkuasa selepas dia berusaha melarikan diri daripada pegawai pada Jumaat, kata Jabatan Polis Columbus dalam satu catatan media sosial kelmarin.
Polis mendapat tahu kira-kira 12:40 tengah hari Jumaat bahawa seorang remaja perempuan berusia 12 tahun yang menjadi sasaran carian Amber Alert berada di Columbus, kira-kira 150 kilometer barat Houston.
Identiti remaja itu disahkan dan dia dibawa ke Hospital Kanak-kanak Texas di Houston untuk penilaian, kata polis.
Jabatan Polis Houston mengeluarkan amaran memberitahu orang ramai tentang remaja yang hilang itu selepas dia kali terakhir dilihat pada 22 Februari menaiki trak pikap di bandar itu, kata laporan berita.
Suspek telah ditahan di penjara Colorado County dengan kemungkinan dakwaan tambahan, sementara menunggu siasatan oleh FBI, kata polis Columbus. – AP