ROM, 11 JULAI – Polis Itali kelmarin menahan seorang lelaki yang didakwa mencuri air dari saluran paip yang membekalkan air kepada kolam dan pancutan air di sebuah istana bersejarah berhampiran Naples, yang digelar sebagai ‘Versailles Itali’.
Polis carabinieri berkata lelaki berusia 58 tahun itu dipercayai melakukan ‘pencurian air awam secara berterusan’ yang menjejaskan Istana Diraja Caserta, sebuah tapak warisan dunia UNESCO yang dibina pada abad ke-18 oleh Raja Naples, Charles of Bourbon.
Siasatan bermula selepas pihak pengurusan istana, yang kini berfungsi sebagai muzium, mengadu tentang kekurangan air di kawasan pancutan air dan kolam dalam taman landskap yang luas.
Suspek didakwa telah menyambung paip secara haram ke saluran utama Aqueduct Caroline dan menyalurkan air sejauh 145 meter ke tanah pertaniannya. Polis turut menyita hartanah tersebut, yang didapati menggunakan air curi itu untuk mengairi enam kawasan pertanian dan menakungnya dalam tangki berkapasiti 1,000 liter.
Menurut kenyataan polis, suspek merupakan pemegang konsesi bagi tanah pertanian tersebut, yang dimiliki oleh sebuah organisasi keagamaan. Dia kini dikenakan tahanan rumah sementara siasatan diteruskan.
Istana Caserta, yang mempunyai 123 hektar taman termasuk air terjun, kolam dan pancutan hiasan, mengeluarkan kenyataan bahawa gangguan air yang dialami adalah ‘serius’.
Pihak istana turut mendedahkan mereka terpaksa menghentikan sistem penyiraman di halaman rumput untuk menjimatkan air, menyebabkan rumput menjadi kuning dan menambah mengendali situasi tersebut sebagai amat mencabar beberapa bulan lalu. – AFP
