Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki ditemui hampir mati di ruang tayar pesawat

    PARIS, 29 DIS – Seorang lelaki ditemui dalam keadaan hipotermia kerana bersembunyi di dalam ruang gear pendaratan pesawat komersial yang terbang ke Paris dari Algeria, kata pihak berkuasa Perancis.

    Lelaki itu, dipercayai berusia lingkungan 20an, ditemui semasa pemeriksaan teknikal selepas penerbangan Air Algerie dari Oran, Algeria mendarat di lapangan terbang Orly di Paris pada awal pagi, kata pihak pendakwa kepada AFP.

    Dia tidak mempunyai sebarang kad pengenalan diri dan sudah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

    Sumber lapangan terbang sebelum ini melaporkan bahawa lelaki itu masih hidup tetapi berada dalam keadaan ‘nyawa-nyawa ikan’ disebabkan hipotermia yang teruk.

    Pesawat komersial terbang pada ketinggian lebih 9,000 meter hingga 12,000 meter, di mana suhu biasanya turun kepada sekitar -50 darjah Celsius serta kekurangan oksigen boleh menyebabkan sesiapa sahaja sukar untuk hidup terutama jika berada di ruangan gear pendaratan yang tidak dipanaskan.

    Menurut data Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) AS yang dipetik media, antara 1947 hingga 2021, terdapat 132 penumpang yang cuba melakukan perjalanan dan duduk di bahagian gear pendaratan pesawat komersial.

    Kadar kematian bagi orang yang cuba melakukan perjalanan dengan cara ini adalah 77 peratus, menurut angka FAA. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda