Lelaki ditemui mati diseludup dalam van

BERLIN, 29 OKT – Polis Jerman berkata hari ini mereka menemui seorang lelaki Iraq yang sudah maut di kalangan 30 orang yang diseludup menerusi sempadan Poland dalam sebuah van.

Lelaki berusia 32 tahun itu telah mati ‘selama beberapa jam’ apabila polis menemui kumpulan itu berhampiran van di luar bandar Schoepstal di Saxony pada pagi ini, menurut polis.

Pemandu van, lelaki warga Turki berusia 48 tahun, dilaporkan melarikan diri dari tempat kejadian namun berjaya diberkas selepas itu.

Jerman telah menyaksikan peningkatan dalam pendatang haram yang memasuki negara dari Poland dalam beberapa bulan ini, kebanyakannya datang menerusi Belarus.

Kesatuan Eropah (EU) menuduh Presiden Belarus Alexander Lukashenko membawa pendatang dari Timur Tengah dan Afrika ke Minsk dan seterusnya menghantar mereka ke blok negara dengan berjalan kaki sebagai tindakan balas terhadap sekatan yang dikenakan ke atas pembangkang.

Lebih daripada 6,100 pendatang haram telah memasuki Jerman menerusi Poland sejak awal tahun ini, menurut pihak berkuasa Jerman.

Untuk mengatasi kemasukan pendatang haram, Berlin pada minggu ini memperketat kawalan sempadan dengan Poland, dengan Menteri Dalam Negeri, Horst Seehofer mengerah 800 pegawai polis tambahan di sempadan.

Pada Rabu, Seehofer berkata lebih 1,000 penghijrah telah masuk dalam satu hari sahaja minggu ini untuk kali pertama sejak kebelakangan ini. – AFP