Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 NOV – Seorang lelaki Dusun, Esmierwandi bin Suhaimi telah melafazkan Dua Kalimah Syahadah hari ini, pada majlis peng-islaman yang berlangsung di Kampung Perpindahan Lambak Kanan.
Menurut kenyataan Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, sebelum majlis pengislaman disempurnakan di hadapan pegawai dari Bahagian Pengembangan Dakwah, PDI.
Beliau yang berusia 24 tahun itu memilih nama Islamnya sebagai Muhammad Esmierwandi bin Suhaimi.
Acara turut diserikan dengan penyampaian cenderahati kepada saudara baharu sebagai tanda sokongan serta disusuli dengan Dikir Marhaban dan bacaan Doa Selamat bagi memberkati majlis.
Majlis tersebut bertujuan meraikan saudara baharu dalam suasana penuh kasih sayang dan ukhuwah, di samping memberi sokongan moral serta bimbingan awal dalam fasa kehidupan baharu sebagai seorang Muslim.
Sejak awal Januari hingga 13 November, seramai 227 orang telah memeluk agama Islam di Negara Brunei Darussalam, termasuk 117 orang dari Daerah Brunei dan Muara.
Dengan pengislaman Muhammad Esmierwandi, jumlah tersebut kini meningkat kepada 228 orang.



