MONTREAL, 17 JULAI – Seorang lelaki berusia 73 tahun mati ditembak polis Kanada beberapa jam selepas enggan memakai penutup mulut dan hidung di dalam sebuah kedai runcit, menurut laporan agensi berita CBC semalam.
Menurut laporan CBC yang memetik polis Ontario, lelaki berkenaan didakwa menyerang seorang pekerja kedai runcit itu kelmarin selepas diminta mematuhi undang-undang memakai penutup mulut dan hidung bagi mengekang penularan virus COVID-19.
Pekerja kedai runcit di Minden, kira-kira 200 kilometer di utara Toronto, berkata lelaki terbabit melarikan diri selepas kejadian itu.
Polis dipanggil tetapi tidak menghalang kereta suspek kerana lebih mengutamakan keselamatan awam, sebaliknya mereka mengesan kediaman lelaki itu menggunakan nombor pendaftaran kenderaannya.
Dua anggota polis terbabit dalam kes tembakan itu, yang turut disahkan menerusi siasatan bebas.
Berdasarkan kenyataan Unit Siasatan Khas Ontario (SIU), lelaki berkenan mati sejurus selepas dibawa ke hospital dan identitinya belum diketahui. – AFP