Monday, December 2, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki Filipina didakwa cuba sogok pegawai kastam

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OKT – Seorang lelaki warga Filipina berusia 29 tahun telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas dakwaan di bawah Bab 6(b) Akta Pencegahan Rasuah, Penggal 131.

    Argel Sanchez David yang bekerja dengan sebuah syarikat pemunggahan didakwa telah menawarkan wang sogokan kepada pemeriksa kastam bagi kesalahan yang berkaitan dengan pengisytiharan kastam.

    Biro Mencegah Rasuah (BMR) menjalankan siasatan terhadap kes tersebut setelah menerima laporan daripada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED).

    Tertuduh, pada 4 Oktober 2021 pukul 4:30 petang sebagai seorang ejen pemunggah dengan secara tidak jujur cuba memberikan wang sogokan berjumlah $20 kepada pegawai pemeriksa, sebagai dorongan atau imbalan untuk tidak mengambil tindakan ke atasnya bagi kesalahan yang berkaitan dengan pengisytiharan kastam.

    BMR membuat tangkapan ke atas Argel Sanchez David pada 9 Oktober lalu. 

    Memandangkan keadaan negara yang dilanda wabak COVID-19, tertuduh dibawa untuk menjalani ujian swab PCR pada hari yang sama, selaras dengan SOP BMR dengan mengambil kira nasihat daripada Kementerian Kesihatan. Tertuduh dibawa bagi menjalani pengasingan diri di Perkampungan Sukan sementara menunggu keputusan ujian swab PCR dan setelah keputusan didapati negatif, tertuduh dibawa ke BMR bagi siasatan.

    Di Mahkamah Majistret, pertuduhan dibacakan terhadap tertuduh dan tidak ada pengakuan diambil. Pendakwa raya memohon supaya tertuduh ditahan reman di Balai Polis Pusat Bandar Seri Begawan kerana tertuduh baru sahaja dilepaskan daripada menjalani pengasingan diri sementara, pagi ini. 

    Majistret Kanan Pengiran Hazirah binti Pengiran Yusof membenarkan permohonan tersebut dan menetapkan tarikh 16 Oktober depan bagi sebutan lanjut kes.

    Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hajah Rozaimah binti Haji Rahman.

    BMR mengingatkan orang ramai bahawa menawarkan rasuah kepada pegawai penguat kuasa adalah kesalahan serius yang membawa hukuman maksimum tujuh tahun penjara dan denda $30,000.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda