Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki Filipina lafaz Syahadah

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 NOV – Seorang lelaki berbangsa Filipina hari ini telah memeluk agama Islam, menjadikan jumlah keseluruhan saudara baharu di Negara Brunei Darussalam meningkat kepada 227 orang sejak awal Januari hingga 12 Oktober tahun ini.

    Daripada jumlah berkenaan, 117 orang adalah daripada Daerah Brunei dan Muara.

    Lelaki berkenaan, Jose Paulo Yandan Lindo, 41 tahun, kini memilih Islam sebagai pegangan hidupnya dan telah melafazkan Dua Kalimah Syahadah dalam satu Majlis Pengislaman yang diadakan di Rancangan Perumahan Negara Kampung Rimba, Gadong.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan lafaz Syahadah oleh Jose Paulo Yandan Lindo, yang memilih nama Islamnya sebagai Muhammad Ihsan Lindo bin Abdullah.

    Majlis pengislaman disempurnakan di hadapan pegawai dari Bahagian Pengembangan Dakwah, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama dan diteruskan dengan penyampaian cenderahati kepada saudara baharu yang diraikan.

    Majlis turut diserikan dengan Dikir Marhaban dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat bagi memberkati majlis.

    Majlis tersebut menzahirkan bahawa Islam merupakan agama yang suci, penuh kasih sayang dan terbuka kepada sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa atau latar belakang, sekali gus menjadi bukti bahawa dakwah Islamiah terus diterima dengan hati terbuka oleh masyarakat bukan Islam di negara ini.

    Semua di atas: Antara suasana seamasa majlis pengislaman berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN PDI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda