MIAMI, 29 OKT – Seorang lelaki berusia 65 tahun yang disabitkan kesalahan merogol dan membunuh jirannya telah dihukum mati melalui suntikan maut di Florida kelmarin.
Norman Grim menarik balik rayuannya terhadap hukuman mati itu dan menjalani hukuman pada jam 6:14 petang di Penjara Negeri Florida di Raiford, menurut Jabatan Penjara Florida.
Grim disabitkan atas pembunuhan dan serangan seksual terhadap Cynthia Campbell, seorang peguam berusia 41 tahun yang tinggal bersebelahan dengannya, pada tahun 1998. Dia dijatuhi hukuman mati pada tahun 2000.
Setakat ini, terdapat 41 pelaksanaan hukuman mati di Amerika Syarikat (AS) tahun ini, jumlah tertinggi sejak 2012, apabila 43 banduan dihukum dengan cara yang sama.
Florida melaksanakan hukuman mati paling banyak, iaitu 15 termasuk Grim. Alabama dan Texas masing-masing melaksanakan lima hukuman.
Daripada jumlah itu, 34 hukuman mati dilakukan melalui suntikan maut, dua oleh pasukan penembak dan lima menggunakan kaedah hipoksia nitrogen yang melibatkan penggunaan topeng muka untuk menyalurkan gas nitrogen sehingga banduan mati lemas.
Kaedah penggunaan gas nitrogen sebagai hukuman mati telah dikecam oleh pakar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Hukuman mati telah dimansuhkan di 23 daripada 50 negeri di AS, manakala tiga negeri lain iaitu California, Oregon dan Pennsylvania, menggantung pelaksanaannya. – AFP


