Sunday, December 22, 2024
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki hidap penyakit strok rentung dalam kebakaran rumah

    SANDAKAN, 17 NOV – Seorang lelaki yang menghidap penyakit strok ditemukan rentung manakala adiknya melecur di bahagian belakang badan dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Batu Sapi, Karamunting di Sandakan pagi hari ini.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Severinus @ Mohd Nidzam Sainkui berkata Jailan Jaimin, 35, ditemukan maut di ruang tamu rumah berkenaan.

    Beliau berkata sepasukan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 8:41 pagi.

    “Sebuah lori 10 tan dan dua kereta jenis sedan turut musnah dalam kejadian itu. Pasukan bomba menyerahkan mayat mangsa kepada polis untuk tindakan lanjut dengan operasi ditamatkan pada 11:35 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sementara itu adik Jailan, Mohd Fadlee, 25, ketika ditemui berkata dia telah berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan abangnya yang lumpuh separuh badan dalam kebakaran itu.

    “Ketika kejadian, saya sedang tidur dan tersedar apabila berasa panas dengan api mula marak dalam bilik saya. Kebetulan ada tuala basah, saya ambil dan cepat-cepat keluar sambil berteriak mengejutkan abang saya.

    “Saya cuba bawa keluar abang tetapi dia terjatuh, kemudian saya usaha tarik lagi (dia), tetapi badan saya pula sudah kena api, melecur belakang setelah beberapa batang kayu yang terbakar timpa belakang, saya terus lari keluar rumah,” katanya kepada Bernama.

    Mohd Fadlee berkata dia turut mendengar suara mangsa berulang kali memanggil namanya meminta tolong.

    “Badan abang saya besar dan api pula marak dengan cepat dan asap sangat tebal. Saya cuba tahan nafas untuk tarik abang tetapi api sudah menyambar di belakang saya,” katanya sebak menceritakan detik cemas kejadian itu. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda