CHINA, 9 JUN – Seorang lelaki China dipecat oleh majikannya kerana terlalu banyak menghabiskan masa di dalam tandas pada waktu bekerja antara 47 minit hingga enam jam.
Media berita China baru-baru ini melaporkan kes pelik seorang pekerja bernama Wang yang menyaman majikannya kerana diberhentikan kerja secara tidak adil kerana menghabiskan terlalu banyak masa di dalam tandas pada waktu bekerja.
Menurut laporan Oddity Central, selepas menjalani pembedahan untuk masalah anorektal, lelaki tersebut terus mengalami kesakitan dan ketidakselesaan, jadi dia mula menghabiskan tiga hingga enam jam di dalam tandas setiap hari.
Bekas majikan Wang mendakwa bahawa dalam tempoh 10 hari, dia mengambil sejumlah 22 rehat dalam bilik air, yang berlarutan antara 47 minit hingga enam jam.
Memetik peruntukan dalam buku panduan kakitangan yang berkaitan dengan kelewatan, pulang awal dari kerja dan ketidakhadiran yang dibenarkan, syarikat yang tidak disebutkan namanya dari Tianjin itu telah memecat Wang.
Wang menjalani pembedahan pada Disember 2014 dan majikannya mendakwa bahawa dia mula mengambil rehat bilik air yang luar biasa lamanya selepas kembali bekerja pada Julai 2015, dengan menghabiskan beberapa jam di dalam tandas pejabat. – Agensi