Lelaki Iban temui hidayah  

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 SEPT – Seorang lelaki berbangsa Iban telah memilih agama Islam sebagai pegangan hidupnya yang baharu apabila melafazkan Dua Kalimah Syahadah pada majlis pengislaman yang berlangsung di sebuah kediaman di Jalan Bukit Bintagur Mengkubau, Mentiri hari ini.

Dengan pengislaman itu, Neekbilly Alexzendra anak Siliman, 25, memilih nama Islamnya sebagai Muhammad Nur Aniq Danish bin Siliman.

Majlis pengislaman itu disaksikan oleh pegawai-pegawai dari Unit Pengislaman dan Bimbingan Saudara Baharu, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

Ketika ditemu bual, Muhammad Nur Aniq Danish menjelaskan, beliau memilih agama Islam atas niatnya sendiri dan percaya bahawa agama Islam itu adalah agama yang sebenar.

“Dalam keluarga, saya seorang sahaja yang baharu memeluk agama Islam,” tambahnya.

Mengikut statistik PDI, dari Januari hingga Ogos 2020, seramai 255 orang telah memeluk agama Islam di seluruh negara, manakala dari Januari hingga Disember 2019 seramai 349 orang telah memeluk Islam.

Muhammad Nur Aniq Danish semasa melafazakan Dua Kalimah Syahadah serta ikrar pengislamannya.