Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 APRIL – Mahkamah Majistret kelmarin telah menjatuhkan hukuman penjara selama setahun ke atas seorang lelaki India setelah mengaku bersalah memberi rasuah kepada pegawai Biro Kawalan Narkotik (BKN) untuk membebaskannya.
Mohammad Faisal Khan, 36, mula-mula dihadapkan ke mahkamah pada 19 April lalu atas dua pertuduhan di bawah Bab 6 (b) Akta Mencegah Rasuah, Penggal 131.
Timbalan Pendakwa Raya Raihan Nabilah binti Haji Ahmad Ghazali mendedahkan tertuduh ditangkap di sebuah kedai jahit di mana dia bekerja sebagai tukang kasut di Kampung Birau, Tutong kerana disyaki mengambil dadah pada 17 April jam 9:36 pagi.
Susulan penangkapan, pemeriksaan dijalankan ke atas kenderaan di luar kedai jahit tersebut yang membawa penemuan beberapa instrumen disyaki digunakan untuk menghisap dadah disembunyikan di bawah stereng.
Tertuduh kemudian merayu pegawai BKN untuk menerima wang suapan sebanyak $200 sebagai dorongan untuk menghalang pegawai tersebut daripada mengambil tindakan terhadapnya.
Dalam pertuduhan kedua, tertuduh semasa disiasat oleh seorang lagi pegawai BKN, telah meminta maaf dan sekali lagi menawarkan wang rasuah sebanyak $500 kepada pegawai terbabit agar membebaskannya daripada tahanan sewaktu berada di pejabat BKN di Tutong pada pukul 10:30 pagi, hari yang sama.
Hal tersebut menyebabkan BKN membuat laporan kepada Biro Mencegah Rasuah (BMR) pada 17 April.
Tertuduh mengaku semasa penyiasatan dijalankan oleh BMR yang dia telah menawarkan rasuah kepada pegawai BKN.
Tertuduh dalam rayuan meminta hukuman diringankan berjanji kepada mahkamah dan menyatakan kekesalannya dan tidak akan melakukannya lagi serta ingin terus menetap di negara ini.
Sementara itu kes dikendalikan oleh Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid.