Khamis, November 20, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki Indonesia dipenjara tiga tahun miliki wang kertas palsu

    KUCHING, 17 NOV – Seorang lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen, hari ini, atas pertuduhan memiliki wang kertas palsu berjumlah RM138,920, bulan lepas.

    Hakim Musli Abdul Hamid menjatuhi hukuman itu selepas Hendra, 32, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

    Hendra dituduh memiliki 1,200 keping wang palsu RM100, 240 keping RM50, 296 keping RM20 dan 100 keping RM10 dengan niat menggunakan wang berkenaan sebagai tulen di satu lokasi di Jalan Tebedu-Serian, Serian kira-kira 4:45 petang, 8 Oktober lepas.

    Kesalahan di bawah Seksyen 489C Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Asmawi Nur Haqim Mokhtar, manakala Hendra tidak diwakili peguam dan mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman bermula hari ini.

    Berdasarkan fakta kes, sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am Batalion 23 menahan dua lelaki warga asing yang menaiki motosikal dalam keadaan mencurigakan di bahu jalan dan dipercayai baru sahaja memasuki Sarawak melalui sempadan Tebedu-Entikong.

    Setelah disoal siasat, mereka memandu arah pasukan keselamatan kepada seorang lagi individu yang dikenali sebagai Hendra tidak jauh dari lokasi pertama yang membawa kepada penemuan wang kertas palsu berkenaan.

    Seorang wanita turut ditahan berhubung kes berkenaan dan hasil siasatan mendapati terdapat wang palsu pelbagai nilai berjumlah RM138,920. – Bernama

    Hendra, 32, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda