BARTLETT, 4 FEB – Seorang lelaki yang menaiki lif ski jatuh kira-kira enam meter ke tanah selepas kerusinya terlepas dan beliau mengalami kecederaan yang tidak mengancam nyawa, kata pihak berkuasa New Hampshire.
Saksi-saksi berkata lelaki itu sedar selepas jatuh di Attitash Mountain Resort di Bartlett kira-kira pukul 12:15 tengah hari, baru-baru ini. Beliau dibawa ke hospital, kata pejabat marshal bomba negeri dalam kenyataan akhbar dan telah dibenarkan keluar pada petang kelmarin.
“Berdasarkan siasatan awal, ia kelihatan kegagalan mekanikal yang menyebabkan salah satu kerusi terlepas dari kabel,” kata pejabat marshal. Tiada orang lain yang cedera dan semua penumpang lain di dalam lif pada masa itu diturunkan dengan selamat di puncak lif.
Lif Flying Bear ditutup sementara siasatan oleh pejabat marshal dan Lembaga Keselamatan Tramway Penumpang diteruskan, kata kenyataan akhbar itu.
Seorang jurucakap untuk Vail Resorts yang berpangkalan di Colorado, yang memiliki Attitash, berkata resort tersebut menjalankan pemeriksaan lif setiap hari. Negeri tersebut memeriksa lif kerusi setiap tahun dan secara rambang sepanjang tahun, kata pejabat marsyal bomba. Pemeriksaan negeri yang terbaharu adalah pada bulan November.
“Saya sering berada di sana, jadi ia agak menakutkan, ia adalah mimpi ngeri. Situasi yang paling buruk,” kata pemain ski David Gunzburger kepada WMUR-TV. – AP